Ads by Google

Get This Pop-up Window


Friday 21 May 2021

PKP 3.0 aka PKP 1.0


Ramai yang dah tahu ada ura-ura nak ulang full PKP macam v1.0 dulu.



Tapi dalam kita sudah tahu itu, apa persediaan yang telah kita buat?? Tahu tak, kalau PKP v1.0 diulang, kalian semua bakal hadapi semula masalah ekonomi yang dijangka lebih parah dari tahun lepas??

Jika tahun lepas, ada banyak bantuan yang diberi oleh kerajaan. Ada ramai influencer bergerak untuk salurkan dana. Ada banyak wang simpanan kita boleh keluarkan dan guna.

Tapi tahun ini?? Agak-agak ada lagi ke bantuan banyak-banyak macam tahun lepas?? Agak-agak ada lagi ke duit simpanan boleh digunapakai?? Agak-agak ada lagi ke tabung nak dikorek??

Duit KWSP pun dah habis keluar dan dah habis korang balun buat beli macam-macam. Mana yang beli barang berfaedah tu bagus dan tahniah. Tapi yang habis ke tempat tak berfaedah atau habis untuk benda tidak perlu, takziah saya ucapkan.

...
PKP kali ini jika diulang seperti masa lalu, akan mencatat satu perubahan besar dalam sosio-ekonomi negara. Bukan sahaja kerajaan akan menghadapi masalah dengan ekonomi dan kewangan, malah ramai dari kalangan rakyat akan sampai ke tahap kemuncak hilang kebergantungan. Hilang punca, hilang arah, tak keruan dan mengakibatkan masalah lain pula.

Jika tidak jadi PKP seperti v1.0 sekalipun, bencana ekonomi tetap menanti kita bermula Q3 bulan Julai nanti. Harga bahan mentah pelbagai sektor sudahpun naik dan akan terus naik sekurang-kurangnya kenaikan 35% lagi akan bermula bulan hadapan. Banyak sektor akan terkena tempias. Kadar inflasi negara juga dijangka bakal melonjak melepasi 2%. BNM menjangka ia bakal mencecah sehingga 5% pada Q3.

Kenaikan kos dalam semua sektor akan memberi impak besar terutama kepada barang keperluan asas. Permintaan tinggi dengan harga yang tinggi dari negara Teluk dan juga dari negara Eropah akan memotong permintaan dari negara kita. Para pengeksport akan mengutamakan permintaan negara yang sanggup membayar lebih berbanding kadar bayaran negara kita yang lebih rendah.

Natijahnya akan mengakibatkan banyak bahan mentah mengalami kenaikan harga. Kos-kos logistik dalam dan luar negara juga akan mengalami kenaikan sementelah harga minyak dunia yang tidak turun-turun. Ditambah pula nilai tukaran matawang asing yang semakin teruk dan pengecutan nilai US Dollar. Harga emas dan perak sebagai komoditi utama juga terus mendaki hingga ke akhir tahun nanti.

---
Kini, kerajaan berhadapan satu situasi genting di mana apa sahaja keputusan yang dibuat, secara langsung atau tidak langsung akan menatijahkan perkara buruk buat rakyat. Jika buat PKP v1.0 semula, mungkin angka kes covid19 akan menurun dan frontliners boleh menarik nafas lega.

Tapi kerajaan pula akan buntu untuk mengorek hasil mahsul lain untuk dibelanjakan buat membantu rakyat yang terhimpit kesusahan. Sedangkan mengikut percaturan mereka, PRU perlu dilaksanakan sejurus selepas Darurat ditamatkan, maka banyak wang perlu digunakan untuk berkempen nanti. Bagaimana hendak membantu rakyat, dan dalam masa yang sama perlukan dana besar untuk kempen politik akan datang??

Jika PKP v1.0 tidak dibuat, apa pula kata rakyat dan frontliners? Angka kes pasti sukar untuk diturunkan. Namun, jika kita kekal dalam situasi sekarang, sekurang-kurangnya ramai yang tidak begitu terbeban dengan bencana ekonomi tersebut. Aliran ekonomi boleh terus bergerak seperti biasa. Rakyat boleh adapt dengan kenaikan harga barang dipasaran tanpa mengeluh kerana ketiadaan punca pendapatan.

Biarlah angka covid19 naik sementara waktu. Alang-alang boleh mohon perkenan untuk sambung darurat 6 bulan lagi. Maka cukup haul untuk melaksanakan PRU pada Q2 tahun hadapan pula. Biarlah rakyat nak kecam kami kerajaan gagal sekalipun, janji jangka hayat kami boleh kekal sehingga next PRU dan dapat berhenti dari karier politik dengan aman dan merasa duit pencen sampai tua sambil menyandang pelbagai gelar dan pangkat.

---
Perkara ini sukar untuk difahami. Namun begitulah apa yang sedang terjadi. Bagai ditelan mati anak, diluah mati bapak. Apa jua keputusan yang dibuat, tetap akan menampakkan suatu kegagalan dan juga jalan buntu buat kerajaan.

Tiada tanda-tanda pulih untuk kerajaan ketika ini. Walau angka covid19 boleh diturunkan pada bila-bila masa sama ada dengan melaksanakan PKP v1.0 ataupun tidak, namun tetap sahaja masalah ekonomi sedang menanti kita semua dihadapan.

Krisis ekonomi ini bukan untuk Malaysia sahaja. Tetapi ia bakal dihadapi seluruh dunia. Inflasi bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan negara besar seperti US juga bakal dilanda badai tersebut. Kali ini, ia akan berjalan sekaligus dalam satu masa. Inflasi dalam deflasi.

Pusinglah macam mana sekalipun, ia tetap akan berlaku. Hanya masa yang menentukan sama ada cepat atau lambat. Hanya persediaan dan bekal diri sendiri yang menentukan sejauh mana anda boleh bertahan. Hanya iman yang kukuh lagi jitu sahaja yang menentukan sekadar mana anda bergantung pada ALLAH Taala.

Maka dari itu, awasilah diri anda dan keluarga anda dari sekarang. Kawal perbelanjaan harian anda dan keluarga. Elakkan pembelian barangan tidak perlu. Tukarkan simpanan ringgit anda kepada emas dan perak. Perbanyakkan sedekah membantu fakir miskin dari sekarang dan bantu-membantu sesama kaum kerabat anda.

Buatlah persediaan daripada sekarang. Jagalah iman kalian dan keluarga masing-masing. Perbanyakkanlah berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAWAW. Tingkatkan amal jariah, zikir harian dan juga makanan rohani anda dan keluarga. Jika pendapatan anda sekarang ini tidak begitu mencukupi, maka tambahlah dari sekarang.

Berkerja keraslah dan berusaha gigihlah. Mohonlah pada ALLAH Taala agar anda dan keluarga anda bisa terselamat daripada badai yang menanti. Berdoalah agar anda dan keluarga dijauhkan daripada kefakiran dan papa. Berdoalah agar anda dan keluarga anda diselamatkan iman kalian seperti terselamatnya iman para Ashabul Kahfi itu.

Ingatlah pesanan ini....
Be prepared, buckle up.
And get ready.....

I'm just giving you my early warning....
There is a big chaos and disorder waiting ahead...

Sekian dan harap maklong.

.
#pkp
#lockdown
#EconomicCrisis 
#economiccollapse

-Muhammad Mamzah
21 Mei 2021

No comments:

Post a Comment