Ads by Google

Get This Pop-up Window


Sunday 23 May 2021

Tiada Lagi Bantuan Prihatin ?


Korang cuba bayangkan, bermula bulan 6 dan 7 nanti, tiba-tiba banyak harga barang naik mendadak...
Harga barang yang sekarang korang beli RM 5, tiba-tiba jadi RM 10 bulan depan dan seterusnya naik jadi RM 15 lagi dua tiga bulan selepas itu.

Bukan setakat harga barang keperluan yang naik, harga perkhidmatan pun turut naik. Kos pengurusan naik, kos penghantaran naik, harga courier shipping naik, dan banyak lagi benda naik. Silap haribulan, ada harga komoditi keperluan asas pun turut mengalami kenaikan seperti air atau elektrik atau pembentungan.

Harga petrol tak payah cerita lah, memang dah naik banyak kali dah pun. Mujur ada tambatan harga. Kalau tak kena gaya, kerajaan pun terpaksa naikkan juga harga tambatan yang sekarang ini RM 2.05 menjadi RM 2.08 - 2.35 seliter untuk RON 95. 

Minyak, gula, garam, tepung, beras dan lain-lain keperluan asas lagi ruji pun sudah pasti turut mengalami kenaikan. Secara tidak langsung, harga makanan yang korang beli dari gerai tepi jalan, restoran atau food delivery pun akan terkena tempias kenaikan harga.

Perkara ini akan berterusan selama beberapa bulan sehingga ramai orang mula dibuang pekerjaan. Ramai orang tidak mampu lagi untuk meneruskan pembayaran hutang. Masalah penipuan juga semakin tinggi kerana masing-masing ingin cari jalan pintas mendapat wang.

Bank-bank tidak lagi mahu memberi moratorium. Tiada bantuan kerajaan ketika itu dan kerajaan pun menunjukkan ketidakpedulian terhadap rakyat. Hanya cakap-cakap kosong ingin membantu rakyat namun tiada tindakan yang efektif.

Perkara ini berterusan sehingga satu tahap ada satu atau dua bekalan makanan asas kita terputus. Sebagai contoh, tiba-tiba beras habis di pasaran dan sukar untuk dibeli. Tiba-tiba ayam habis stok dipasaran sebab bekalan terputus dari ladang dalam dan luar negara.

---
Cuba bayangkan jika benar-benar semua situasi diatas menjadi kenyataan. Apakah kalian semua sudah cukup bekalan dan cukup persediaan bagi menghadapinya??

Kekurangan bekalan makanan dan perut yang lapar boleh mengakibatkan pelbagai perkara tidak diingini berlaku. Seorang bapa yang lapar mungkin boleh bertahan, tetapi sukar bagi seorang bapa untuk membiarkan anak isterinya kelaparan. Apa sahaja sanggup mereka lakukan.

Walaupun ini hanya sekadar bayangan. Tidak mustahil ia boleh menjadi kenyataan. Kalian boleh sambung bayangan ini dengan imiginasi masing-masing. Cuba bayang dan cuba fikir apa yang akan terjadi selepas semua hal di atas telah berlaku.

Tapi bayangkan je lah... jangan korang doa ia jadi realiti pula. Cukup sekadar bayangan, kemudian selepas terbayang-bayang tu, kembalilah ke dunia nyata dan mulakanlah persediaan dan persiapan anda bagi menghadapi sebarang kemungkinan dimasa akan datang...

Sekian dahulu...

-Muhammad Mamzah
22 Mei 2021

No comments:

Post a Comment